|
Kikis persepsi propembangkang |
|
|
|
Sunday, 24 June 2012 |
|
Oleh Kamil Maslih
Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 23 Jun - Majlis Peguam perlu mengambil inisiatif menangkis persepsi
umum bahawa badan profesional itu lebih cenderung menyokong pembangkang.
Seorang peguam, Roger Tan Kor Mee berkata, penglibatan aktif Majlis
Peguam dalam perhimpunan haram Bersih 3.0 pada April lalu menjerumuskan badan
profesional itu dengan persepsi tidak sehaluan dengan kerajaan.
"Majlis Peguam perlu lebih seimbang dalam laporannya dan tidak sepatutnya
dilihat sebagai pro-Bersih. Sudah tentu masalah persepsi akan timbul apabila ada
ahli Majlis Peguam yang berada dalam jawatankuasa penganjur Bersih," katanya
pada program forum Siri Pemikiran Kritis, Alternative Bar, Alternative Future
di sini hari ini.
Forum anjuran Jawatankuasa Peguam Muda Kebangsaan di bawah Majlis Peguam itu
turut membariskan ahli-ahli panel terdiri daripada bekas Presiden Majlis Peguam,
Ragunath Kesavan; Penasihat Undang-undang UMNO, Datuk Mohd. Hafarizam Harun
serta peguam seperti Khaizan Sharizan Abdul Razak dan Abu Backer Sidek.
Sementara itu, menurut Ragunath Kesavan, perbezaan pendapat sering wujud
dalam Majlis Peguam namun tumpuan utama badan itu adalah sentiasa kepada
meningkatkan tahap profesionalisme profesion peguam dan menjaga kebajikan
ahlinya.
"Saya boleh katakan 95 peratus daripada perkara yang sering dibincangkan dalam
Majlis Peguam adalah mengenai profesion peguam, cuma lima peratus sahaja perkara
seperti hak asasi kemanusiaan yang diketengahkan," katanya.
Bagi Abu Backer pula, Majlis Peguam tidak sepatutnya menggunakan namanya
dalam menyokong perhimpunan haram Bersih dan mengeluarkan resolusi menghentam
polis semasa perhimpunan itu.
"Saya terlibat dalam Ops Piramid semasa kerajaan Malaysia membawa rakyat negara
ini keluar dari Mesir berikutan konflik yang berlaku. Keadaan huru-hara itu
adalah amat teruk dan saya tidak mahu ia berlaku di negara yang saya cintai,"
katanya.
Sementara itu, rata-rata ahli panel pada forum tersebut sependapat cadangan
penubuhan Akademi Undang-Undang tidak dapat dibincangkan sepenuhnya kerana ia
belum diperincikan kerajaan.
Jelas Mohd. Hafarizam, penubuhan akademi berkenaan mempunyai kepentingan
dalam membenarkan golongan akademik, bekas hakim serta pemegang ijazah
undang-undang bersatu di bawah persatuan.
Bagaimanapun, ahli panel forum berkenaan berbeza pendapat berhubung kemungkinan
penubuhan akademi itu dibuat di bawah akta undang-undang dan mengambil alih
peranan yang dijalankan Majlis Peguam selama ini.
Roger Tan menegaskan, Singapura tidak boleh dijadikan contoh terbaik dalam
penubuhan akademi itu kerana profesion undang-undang dikawal secara terus oleh
kerajaan negara itu.
Begitupun, Abu Backer menyatakan sokongan kepada sebuah badan alternatif kepada
Majlis Peguam dengan mencadangkan penubuhan Majlis Peguam Persekutuan Malaysia.
Comments () |
|
|
|
|
|
|